Site icon TechNave BM

Google perkenalkan model AI yang boleh hasilkan muzik daripada perkataan

Sejak beberapa tahun lalu, kita sudah sedia maklum dengan beberapa teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) yang boleh menghasilkan beberapa karya unik seperti ChatGPT yang menghasilkan karangan teks dan DALL-E yang menghasilkan karya seni visual menarik. Pengguna hanya perlu menaip beberapa patah perkataan (prompts) kemudian enjin AI ini akan menghasilkan karya berdasarkan perkataan tersebut.

Kini Google telah membangunkan sebuah sistem AI yang boleh melakukan perkara sama untuk muzik pula. Sistem ini bernama MusicLM dan ia boleh menghasilkan muzik yang menarik dengan hanya daripada beberapa patah perkataan daripada seorang manusia.

MusicLM telah dilatih dengan pendengaran muzik selama 280,000 jam untuk menjana muzik baharu daripada perkataan yang diberikan. Dalam sebuah demonstrasi di laman web Github, Google menaip beberapa ayat untuk menggambarkan sebuah muzik yang diinginkan, kemudian MusicLM menjana muzik baharu berdurasi 30 saat berdasarkan ayat tersebut.

Ia boleh menjana muzik untuk pelbagai genre, seperti runut bunyi dalam game, orkestra untuk filem, R&B/hip-hop, reggae, EDM, koir dan techno. Selain menghasilkan muzik pelbagai genre, pengguna juga boleh memilih “tahap pengalaman pemuzik” untuk menghasilkan sebuah muzik yang bertepatan dengan tahap kemahiran seorang pemuzik sama ada pemula, pertengahan atau profesional.

Ini bukanlah sistem AI pertama yang boleh menjana muzik, sebelum ini ia pernah dihasilkan oleh Dance Diffusion, Google AudioML dan OpenAI Jukebox. Sungguhpun begitu, Google mengatakan MusicLM boleh hasilkan muzik yang sangat bertepatan dengan perkataan yang diberikan.

Buat masa ini, Google masih tiada perancangan untuk menawarkan MusicLM kepada orang awam kerana ia masih memerlukan pembangunan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9to5Google

Exit mobile version