Site icon TechNave BM

Google integrasi Lyria 3 dalam Gemini – Anda kini boleh jadi komposer lagu!

Google secara rasmi telah mengumumkan penyepaduan ciri penjanaan muzik terbaharu ke dalam aplikasi Gemini yang dikuasakan oleh model kecerdasan buatan (AI) muzik paling maju setakat ini iaitu Lyria 3. Pengguna kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan klip muzik asli berdurasi sehingga 30 saat yang merangkumi vokal, lirik dan instrumen dengan kualiti audio yang tinggi.

Berbeza dengan sistem penjanaan muzik tradisional yang hanya bergantung pada teks, ciri terbaharu ini bersifat multimodal yang membolehkan pengguna memuat naik foto atau video sebagai sumber inspirasi kreatif bagi menghasilkan runut bunyi yang bersesuaian dengan kandungan visual tersebut secara automatik.

Pembangunan model Lyria 3 oleh Google DeepMind ini memberikan tumpuan utama kepada aspek ekspresi seni yang asli dan kualiti akustik yang kedengaran lebih semula jadi bagi mengelakkan bunyi sintetik yang ketara. Selain keupayaan audio, Gemini juga akan menjana seni album atau cover art bagi setiap lagu yang dihasilkan dengan menggunakan kepakaran model Nano Banana.

Bagi tujuan keselamatan dan pengesahan kandungan digital, setiap klip muzik yang dihasilkan akan disertakan dengan SynthID iaitu teknologi tera air digital yang tidak dapat dikesan oleh telinga manusia tetapi mampu mengenalpasti bahawa audio tersebut adalah hasil binaan kecerdasan buatan.

Integrasi teknologi turut diperluaskan ke platform YouTube melalui ciri Dream Track yang membolehkan pencipta kandungan menghasilkan muzik latar yang unik untuk video pendek Shorts tanpa perlu bimbang mengenai isu pelanggaran hak cipta. Ciri penjanaan muzik Gemini kini sedang dilancarkan secara berperingkat dalam fasa beta untuk pengguna berumur 18 tahun ke atas di seluruh dunia.

Ia menyokong pelbagai bahasa utama termasuk Inggeris, Jepun dan Korea manakala sokongan untuk bahasa-bahasa lain akan ditambah secara berterusan bagi memastikan capaian yang lebih luas kepada komuniti kreatif global. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version