Site icon TechNave BM

Google kini benarkan log masuk akaun guna video selfie

Google secara rasmi memperkenalkan kaedah log masuk baharu menerusi rakaman video selfie bagi pengguna yang terputus akses atau terkunci daripada Akaun Google mereka. Ciri ini berfungsi sebagai pilihan pemulihan sandaran apabila pengguna tidak mempunyai akses kepada telefon pintar atau komputer biasa.

Untuk mengaktifkan fungsinya, pengguna perlu merakam video pendek dengan melakukan beberapa pergerakan kepala yang diiringi panduan visual bagi merakam pelbagai sudut wajah. Apabila timbul masalah log masuk kelak, pengguna hanya perlu merakam video selfie baharu untuk disahkan dan dipadankan dengan rakaman asal yang telah disimpan.

Google mendakwa aspek privasi dan keselamatan kekal diutamakan melalui penyulitan data semasa berada dalam simpanan. Pengguna mempunyai kawalan penuh untuk memadam rakaman tersebut pada bila-bila masa menerusi tetapan Akaun Google.

Bagi mengelakkan percubaan penyamaran seperti penggunaan gambar palsu atau teknologi ‘deepfake’, sistem ini menyepadukan perlindungan keselamatan berlapis. Antaranya termasuk keperluan melakukan pergerakan kepala secara langsung bagi mengesahkan bahawa rakaman dibuat oleh pengguna sebenar.

Sokongan pemulihan berasaskan video selfie ini melengkapkan pilihan keselamatan sedia ada seperti kunci laluan (passkeys) dan kenalan pemulihan. Pengguna yang ingin menyemak kelayakan akaun atau membuat tetapan awal boleh melayari pautan rasmi g.co/signin-selfie bermula hari ini.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version