Site icon TechNave BM

Google kini benarkan pengguna Gemini buang “watermark” pada kandungan AI

Google mengemaskini platform Gemini dengan memperkenalkan tetapan baharu yang dinamakan Media Watermark. Tetapan ini memberikan pilihan kepada pengguna untuk mengekalkan atau mengalih keluar cap air visual yang dipaparkan pada kandungan yang dijana.

Pengguna boleh mengakses tetapan ini dengan membuka menu Tetapan di bahagian bar kiri antara muka Gemini. Ciri Media Watermark menyediakan dua pilihan iaitu On untuk mengekalkan cap air visual dan Off untuk memadamkannya daripada hasil janaan gambar, video serta muzik.

Ia diperkenalkan berikutan maklum balas pengguna yang diterima oleh Josh Woodward, Naib Presiden Google yang memimpin Gemini, AI Studio dan Google Labs. Penyahaktifan cap air visual merupakan antara 10 permintaan tertinggi yang dikemukakan oleh pengguna.

Meskipun cap air visual boleh dimatikan, kandungan yang dijana tidak bebas sepenuhnya daripada pengesahan identiti AI. Google mengesahkan bahawa cap air tidak kelihatan SynthID serta metadata C2PA akan kekal tertanam pada latar belakang fail berkenaan.

Tetapan baharu ini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna Gemini dalam tempoh beberapa hari. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version