Google memperkenalkan model penjanaan imej terbaharu Nano Banana 2 yang merupakan naik taraf kepada generasi terdahulu yang kini dibangunkan di bawah ekosistem Google berasaskan model Gemini Flash. Ia memfokuskan kepada kelajuan penjanaan imej, ketepatan arahan dan kawalan visual yang lebih terperinci termasuk pencahayaan, tekstur serta sudut kamera.
Nano Banana 2 menyokong penjanaan imej resolusi tinggi sehingga 4K dengan keupayaan pemaparan teks dalam imej yang lebih tepat serta komposisi visual yang lebih kompleks melibatkan pelbagai subjek dan objek dalam satu adegan. Ia turut menawarkan fungsi suntingan imej berasaskan AI yang lebih responsif.
Model ini dibangunkan menggunakan teknologi Gemini Flash yang memberi kelebihan dari segi kelajuan dan kos operasi yang lebih rendah yang menjadikannya sesuai digunakan secara meluas. Nano Banana 2 juga diintegrasikan secara terus ke dalam ekosistem produk Google termasuk aplikasi Gemini, carian Google (AI Mode), Google Lens dan Flow.
Tambahan, pengguna kini boleh menggunakan imej janaan AI secara terus dalam pelbagai perkhidmatan Google tanpa memerlukan platform pihak ketiga. Sebelum ini, model Nano Banana generasi pertama mencatat penggunaan meluas dengan bilion imej dijana dan menarik jutaan pengguna baharu ke dalam ekosistem Gemini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google

