Site icon TechNave BM

Google Malaysia anjurkan kempen kesedaran untuk galak penggunaan internet yang selamat

Sempena Hari Keselamatan Internet yang jatuh pada tarikh 6 Februari setiap tahun dan Bulan Keselamatan Internet yang berlangsung setiap Februari, Google Malaysia akan anjurkan sebuah kempen khas yang bertujuan untuk berkongsi pelbagai alat dan nasihat yang boleh meningkatkan tahap keselamatan internet anda.

Sepanjang bulan Februari ini, Google Malaysia akan berkongsi tips-tips keselamatan internet yang mudah difahami melalui laman Twitter. Tips yang baharu akan diberikan setiap hari bagi mengajar netizen tentang amalan internet yang selamat.

Google mencatatkan bahawa scammer sering menyebarkan mesej-mesej phishing yang bertujuan untuk menggesa orang ramai memuat turun aplikasi palsu, di mana aplikasi ini boleh mencuri maklumat peribadi dan kewangan secara senyap. Mesej-mesej phishing ini sering berpura-pura sebagai mesej yang rasmi daripada pertubuhan seperti agensi kerajaan, bank dan perkhidmatan kurier.

Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyaksikan peningkatan mesej-mesej sedemikian dalam semua sistem operasi peranti mudah alih. Pusat Tindak Balas Scam Kebangsaan (NSRC) sendiri telah mencatatkan peningkatan kerugian sebanyak RM1.34 bilion daripada 33,234 kes jenayah dalam talian yang dilakukan pada 1 Januari 2023 hingga 8 Disember 2023.

Bagi memudahkan anda dalam melayari internet dengan lebih selamat, Google telah menyediakan pelbagai alat keselamatan siber seperti Security Checkup, Privacy Checkup, Password Manager dan banyak lagi. Untuk mengikuti tips-tips keselamatan daripada Google, anda boleh ikuti laman Twitternya.

Beritahu kami di Facebook jika kempen ini akan membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version