Site icon TechNave BM

Google Malaysia lancarkan Mantap Bersama: Inisiatif bantu perniagaan kecil untuk tingkatkan jualan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac 2020 telah menjejaskan ribuan perniagaan kecil dan sederhana di seluruh negara. Oleh yang demikian, Google Malaysia ingin bantu golongan perniagaan kecil untuk tingkatkan jualan mereka dengan inisiatif Mantap Bersama, di mana semua pengguna Google tempatan digalakkan untuk mempromosi pelbagai perkhidmatan daripada perniagaan kecil.

Sebagai permulaan, Google menasihatkan pengguna untuk membeli-belah daripada perniagaan kecil yang berhampiran. Untuk mencarinya, pengguna Google hanya perlu menaipkan nama produk yang ingin dicari dengan tambahan “near me” atau “dekat saya”, dan Google akan mencadangkan beberapa perniagaan kecil yang pengguna boleh lawati.

Selain itu, pengguna Google juga digalakkan untuk menulis ulasan tentang perniagaan kecil dalam Google Maps serta memuat naik sebarang gambar yang boleh mempromosikan perniagaan kecil.

Bagi menjayakan inisiatif Mantap Bersama, Google Malaysia telah berganding bahu dengan beberapa individu seperti cef selebriti Illi Sulaiman, pengasas Cardock Academy Fadhli Mohamad Isa (Cardock) dan cef Kalidevan Murugaya (Chef Dave) di mana merka akan menggalakkan amalan membeli-belah dari perniagaan kecil melalui platform media sosial mereka.

Ayuh, mari kita sokong perniagaan kecil dalam mengharungi waktu yang sukar ini. Kongsi pendapat anda tentang inisiatif ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version