Site icon TechNave BM

Google Maps akan tunjukkan jumlah tol yang diperlukan dalam perjalanan anda

Google telah memperkenalkan beberapa ciri baharu dalam aplikasi pengemudian Google Maps, di mana pembaharuan utama adalah penilaian jumlah harga tol apabila anda menetapkan laluan untuk perjalanan anda.

Dalam sebuah tulisan di blog Google, mereka mengatakan pengguna Google Maps boleh melihat jumlah bayaran tol yang dianggarkan dalam perjalanan, berdasarkan maklumat daripada pihak lebuhraya tempatan. Google Maps akan turut mengambil kira beberapa faktor lain seperti cara pembayaran, hari serta waktu perjalanan.

Fungsi harga tol dalam Google Maps ini akan diperkenalkan terlebih dahulu di empat negara iaitu Amerika Syarikat, India, Jepun dan Indonesia. Setakat ini masih tiada maklumat tentang pengenalan fungsi anggaran tol Google Maps di Malaysia.

Selain fungsi anggaran tol, Google Maps akan memaparkan lebih banyak objek trafik seperti lampu isyarat, papan tanda untuk berhenti, bangunan menarik dan tempat pelancongan. Di bandar-bandar terpilih pula, Google Maps akan menunjukkan bentuk dan kelebaran jalanraya supaya pemandu boleh mendapat idea yang lebih jelas sebelum memandu di jalan tersebut.

Ikon lampu isyarat dan papan tanda berhenti dalam Google Maps
(Kiri) Widget iOS untuk Google Maps, (tengah) Google Maps dalam Apple Watch, (kanan) Google Maps dengan Siri

Untuk pengguna peranti iOS pula, Google Maps bakal menawarkan widget baharu untuk melihat panduan pengemudian dengan lebih mudah serta integrasi dengan pembantu suara Siri dan Spotlight. Selain itu, pengguna iOS juga boleh mengakses Google Maps daripada jam tangan Apple Watch.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google Blog

Exit mobile version