Site icon TechNave BM

Google Meet kini hadkan panggilan video untuk pengguna percuma selama 60 minit sahaja

Sewaktu penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, pelbagai perkhidmatan panggilan video telah menjadi penting kerana ia digunakan untuk tugas pekerjaan serta pendidikan dari rumah. Salah satu perkhidmatan panggilan video yang paling popular adalah Google Meet kerana pengguna boleh membuat panggilan secara percuma tanpa had masa.

Walau bagaimanapun, Google kini akan mengenakan had panggilan kepada pengguna yang menggunakannya secara percuma. Panggilan yang melibatkan tiga orang atau lebih peserta yang menggunakan Google Meet secara percuma akan dihadkan selama 60 minit sahaja. Sebaik sahaja panggilan itu tamat, mereka perlu memulakan panggilan yang baru untuk menyambung perbincangan mereka.

Peserta bakal menerima pemberitahuan pada minit ke-55 di mana panggilan mereka akan ditamatkan pada minit ke-60. Walau bagaimanapun, panggilan yang melibatkan dua orang peserta sahaja masih boleh dibuat tanpa had masa.

Jika anda ingin menggunakan Google Meet secara berkumpulan dan ingin memanjangkan had 60 minit tersebut, anda perlu membeli langganan Google Workspace Individual berharga USD9.99 sebulan, namun ia masih belum dilancar untuk pasaran Malaysia.

Apakah perkhidmatan panggilan video kegemaran anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version