Site icon TechNave BM

Google mungkin akan keluarkan kad debitnya sendiri untuk menyaingi Apple Card

Menurut sebuah laporan media, Google sedang mengusahakan sebuah “Google Card” iaitu sebuah kad debit pintar yang akan menyaingi produk Apple Card dan berfungsi dengan perkhidmatan Google Checking Account yang juga akan dilancarkan pada masa hadapan.

Ia akan dihubungkan dengan akaun Google Pay dan diberikan nombor maya (virtual number) agar ia juga boleh digunakan melalui pembayaran dalam telefon. Kad tersebut tidak akan mempunyai nombor padanya seperti yang terdapat dalam kad debit biasa.

Laporan awal menunjukkan transaksi pada kad ini akan dicatatkan dalam Google Maps, selain ciri pembayaran tanpa sentuh (contactless payments) dan pemindahan wang daripada Google Checking Account. Google akan bekerjasama dengan bank Citi dan Stanford Federal Credit Union serta syarikat perkhidmatan kewangan VISA untuk menjayakan Google Card ini.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana program kad ini akan dilaksanakan memandangkan masih tiada sebarang maklumat rasmi daripada Google. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki kad debit mirip Apple Card dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Headlines

Exit mobile version