Google telah memperkenalkan Nano Banana Pro (Gemini 3 Pro Image), versi baharu dan lebih berkuasa daripada Nano Banana sebelum ini. Model ini dibina atas teknologi Gemini 3 Pro menawarkan keupayaan penjanaan dan penyuntingan imej yang lebih pintar melalui reasoning lanjutan serta pengetahuan dunia sebenar. Ia direka untuk membantu pengguna menghidupkan apa sahaja idea visual daripada lakaran prototaip, infografik hinggalah menukarkan nota tulisan tangan menjadi diagram.
Nano Banana Pro datang dengan peningkatan besar seperti penjanaan visual yang lebih tepat, penyertaan teks yang lebih jelas dalam pelbagai bahasa, serta kemampuan menggabungkan sehingga 14 imej dengan konsisten. Ia juga menyokong suntingan kreatif bertahap studio seperti mengubah sudut kamera, fokus, pencahayaan dan warna. Selain itu, ia mampu menghasilkan imej beresolusi tinggi sehingga 2K dan 4K, sesuai untuk media sosial, pemasaran atau cetakan profesional.
Model ini kini mula dilancarkan merentas pelbagai produk Google termasuk aplikasi Gemini, Google Ads, Workspace (Slides dan Vids), Gemini API dan Vertex AI untuk pembangun serta Flow untuk membuat video. Untuk keselamatan dan ketelusan, semua imej dijana menggunakan tanda air digital SynthID dan pengguna juga boleh menyemak sama ada sesuatu imej dijana AI. Tanda air visual akan kekal untuk pengguna percuma dan Pro, manakala pengguna Ultra akan menerima imej tanpa watermark untuk kegunaan profesional.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google.blog

