Selain siri Pixel 11 standard, Google turut mengumumkan telefon pintar boleh lipat baharu Pixel 11 Pro Fold untuk pasaran Malaysia. Peranti ini menampilkan reka bentuk yang lebih nipis pada ukuran 10.1mm ketika dilipat serta berat 239 gram. Pada bahagian paparan, ia dilengkapi skrin luar Super Actua OLED berukuran 6.5 inci dan skrin dalaman Super Actua Flex OLED berukuran 8 inci.
Kedua-dua skrin menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz serta kecerahan puncak sehingga 3,600 nits. Untuk ketahanan, peranti mengekalkan penarafan kalis air dan debu IP68 serta menggunakan engsel tanpa gear baharu bagi mengurangkan kesan lipatan. Pixel 11 Pro Fold dikuasakan oleh cip pemproses Google Tensor G6 yang digandingkan bersama cip keselamatan Titan M3, RAM 16GB dan pilihan storan sehingga 512GB.
Peranti ini turut memperkenalkan ciri visor kamera baharu dinamakan HiLight iaitu tatasusunan lampu LED RGB pada bahagian belakang yang menyala untuk memberikan notifikasi visual dan petunjuk aktiviti pembantu pintar Gemini. Sistem pengimejan dibekalkan dengan kamera utama 48MP, kamera ultralebar 10.5MP dan kamera telefoto 10.8MP yang menyokong zum optikal 5x serta zum digital sehingga 30x.
Bekalan kuasa ditampung oleh bateri berkapasiti 4,806mAh yang menyokong pengecasan berwayar 30W dan pengecasan wayarles 25W. Di Malaysia, Google Pixel 11 Pro Fold dijual pada harga bermula RM7,999 bagi varian 256GB dan RM8,599 bagi varian 512GB dalam pilihan warna Obsidian serta Olive.
Sesi tempahan awal telah dibuka menerusi pengedar rasmi dan syarikat telekomunikasi tempatan sebelum jualan rasmi bermula pada 20 Ogos 2026. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

