Site icon TechNave BM

Google Pixel Buds Pro dilancar: Ciri ANC, Multipoint dan bateri tahan 11 jam berharga ~RM873

Google telah melancarkan keseluruhan barisan produk baharunya di Google I/O 2022 dan salah satunya ialah Google Pixel Buds Pro iaitu fon telinga TWS. Pixel Buds Pro ialah pengganti Pixel Buds dan Pixel Buds A. Tetapi seperti yang boleh lihat, reka bentuknya tidak kelihatan begitu berbeza daripada peranti sebelumnya.

Ia mempunyai bekas pengecasan berbentuk bujur yang sama tetapi dilengkapi dengan dua mikrofon di bahagian luar fon telinga. Model baharu ini juga mempunyai lebih banyak pilihan warna iaitu Coral, Lemongrass, Fog dan Charcoal. Menurut Google, peningkatan ketara ialah pembatalan hingar aktif (ANC).

Pixel Buds Pro juga mempunyai reka bentuk Silent Seal yang didakwa menyesuaikan dengan telinga anda untuk memaksimumkan kesan ANC. Ciri lain ialah sambungan Multipoint yang boleh bertukar secara automatik antara peranti Bluetooth yang dipasangkan sebelum ini.

Bagi hayat bateri, ia bertahan sehingga 11 jam tanpa ANC. Google Pixel Buds Pro akan mula dijual di AS pada Julai 2022 pada harga USD199 (~RM873). Buat masa ini kami masih belum menerima maklumat rasmi tentang ketersediannya di Malaysia.

Adakah anda berminat untuk mendapatkannya? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version