Site icon TechNave BM

Google tamatkan aplikasi Street View, akan dibuang dari Play Store dan App Store

Google telah mengesahkan bahawa mereka akan menamatkan sokongan untuk aplikasi Google Street View pada bulan Mac 2023. Syarikat itu akan membuang aplikasi tersebut daripada platform Google Play Store dan Apple App Store dalam minggu-minggu hadapan.

Jika anda tidak pernah menggunakan Street View, ia adalah sebuah aplikasi yang membenarkan anda untuk melihat gambar jalanan daripada peta Google Maps. Ia memaparkan gambar pandang pertama dengan medan penglihatan 360 darjah yang membuatkan anda seolah-olah berada dalam lokasi tersebut.

Contoh gambar dalam Google Street View

Sungguh pun begitu, aplikasi Street View tidak lagi relevan kerana fungsinya sendiri boleh diakses dalam aplikasi Google Maps. Oleh yang demikian, Google mungkin ingin menamatkan aplikasi Street View ini untuk fokus pada penggunaan yang lebih menyeluruh dalam aplikasi Google Maps.

Pada waktu artikel ditulis, aplikasi Google Street View masih boleh dimuat turun daripada Play Store, namun ia mungkin akan dipadam dalam masa terdekat. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version