Site icon TechNave BM

Google umumkan pembinaan Pusat Data dan Wilayah Awan di Malaysia, akan labur sebanyak USD2 bilion

Google Malaysia hari ini mengadakan acara Mantap Malaysia Bersama AI bagi mengumumkan pembinaan Pusat Data dan Wilayah Awan yang pertama dalam negara di Elmina Business Park, Selangor. Acara tersebut diadakan di Hotel St. Regis Kuala Lumpur dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat dan ramai lagi orang kenamaan.

Dalam acara tersebut, Google mengumumkan pelaburan bernilai USD2 bilion bagi membangunkan pusat data dan infrastruktur awan ini untuk meningkatkan keupayaan Google Cloud, inovasi AI serta perkhidmatan digital Google yang kerap digunakan oleh rakyat Malaysia seperti Search, Maps dan Workspace. Dengan pembinaan infrastruktur Google, ia dijangka akan menyumbang USD3.2 bilion terhadap ekonomi negara dan mewjudukan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Upacara pecah tanah simbolik untuk pembinaan Pusat Data dan Wilayah Awan Google pertama di Malaysia
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat

Dato’ Seri Anwar Ibrahim memuji keputusan Google dalam menubuhkan pusat data di Malaysia untuk meningkatkan keupayaan industri negara dan bersaing dalam rantaian nilai global. Beliau juga menghargai komitmen Google untuk melatih tenaga kerja tempatan dengan program seperti Gemilang dan Future Skills for All bagi menjamin masa depan digital yang lebih inklusif untuk tenaga kerja Malaysia.

Dalam membangunkan pusat data ini, Google juga menyatakan komitmennya untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Fasiliti Google di Malaysia akan menggunakan teknologi penyejukan air yang menggunakan tenaga lebih rendah sebanyak 10% berbanding penyejukan berdasarkan udara, serta mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 10%.

Google Malaysia juga akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Global Environment Centre (GEC) untuk memulihkan Tasik Taman Aman di Selangor dan memperbaiki persekitaran di sekelilingnya.

Di samping itu, Google juga akan membawa perkhidmatan Solar API ke Malaysia yang menggunakan teknologi AI dan pengimejan satelit untuk memperecepatkan pemasangan penyelesaian tenaga solar bumbung. Beberapa pihak tempatan seperti Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Gamuda telah pun menggunakan Solar API.

Bagi memastikan Malaysia membina ekosistem yang menyokong inovasi, transformasi digital dan memanfaatkan AI, Google mengumumkan kerjasama dengan UNICEF Malaysia, CelcomDigi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Arus Academy untuk membawa program Future Skills for All ke Selangor, dengan sokongan Kementerian Pendidikan (MOE). Program ini akan melatuh 260 guru yang seterusnya akan melatih sehingga 61,000 pelajar di seluruh negeri tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version