Dengan pembayaran tanpa tunai yang semakin menjadi pilihan untuk pengalaman pembayaran yang lancar, Google telah mengumumkan bahawa Google Wallet kini tersedia di Malaysia. Untuk bermula, anda boleh muat turun Google Wallet daripada Gedung Google Play.
Mulai hari ini, pemegang kad CIMB Bank (kad kredit Mastercard), Hong Leong Bank (kad kredit Visa dan debit Mastercard), Hong Leong Islamic Bank (kad debit dan Mastercard) dan Public Bank (kad kredit dan debit Visa) akan dapat menambahkan kad mereka pada Google Wallet.
Pemegang Kad HSBC (kad kredit Visa dan Mastercard) dan HSBC Amanah (kad kredit Visa dan Mastercard) juga akan dapat menambahkan kad mereka pada Google Wallet tidak lama lagi. Tambahan, pengguna boleh membayar dengan selamat menggunakan Google Wallet semasa perjalanan ke luar negara tanpa memerlukan kad fizikal.
Jika anda sudah mempunyai kad kredit atau debit yang disimpan ke akaun Google anda, ia akan dipaparkan secara automatik dalam Google Wallet. Anda hanya perlu menyediakannya untuk pembayaran tanpa sentuh dengan mengikuti langkah-langkah pada skrin.
Privasi dan keselamatan merupakan asas Google Wallet. Apabila anda menggunakan Google Wallet, urus niaga dibuat menggunakan nombor kad ganti (token) yang khusus kepada peranti anda dan disegerakkan dengan kod keselamatan dinamik yang berubah dengan setiap transaksi.
Bank juga perlu mengesahkan pemegang kad sebelum anda boleh menambahkan kad dan anda boleh menetapkan kunci skrin. Jika telefon anda hilang atau dicuri, anda boleh menggunakan fungsi “Cari Peranti Saya” untuk mengunci peranti anda dengan serta-merta dari mana-mana sahaja.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

