Site icon TechNave BM

GoPro HERO10 Black dilancar di Malaysia: Kamera lasak dengan video 5.3K 60fps berharga RM2,399

GoPro Malaysia hari ini telah melancarkan kamera lasak Hero terbaru iaitu GoPro HERO10 Black. Kamera ini menampilkan pemproses yang baru iaitu GP2 yang membenarkannya untuk merakam video dengan resolusi lebih tinggi serta kadar lebih pantas berbanding HERO9.

HERO10 Black boleh merakam video dalam resolusi 5.3K pada kadar 60 bingkai sesaat (fps), manakala resolusi lain termasuklah 4K 120fps dan 2.7K 240fps. Cipset GP2 itu juga menawarkan prestasi penggambaran malap (low-light) yang lebih jelas dengan teknologi 3D noise reduction dan local tone mapping.

Kamera lasak ini menawarkan pembaharuan dalam teknologi sedia ada seperti penstabilan HyperSmooth 4, Horizon Leveling yang lebih fleksibel serta resolusi fotografi yang dinaikkan kepada 23MP. Ia boleh digunakan untuk siaran langsung (livestreaming) atau sebagai webcam dalam panggilan video.

HERO10 Black juga membolehkan rakaman untuk dimuat naik ke storan awanan (cloud storage) sewaktu ia mengecas. GoPro mengatakan pengguna boleh memuat naik video tanpa sebarang had kapasiti, namun ia memerlukan langganan kepada GoPro Subscription dengan yuran bulanan.

Jika anda tidak ingin memuat naik video anda ke storan awanan, ia boleh dipindahkan ke dalam telefon pintar secara wayarles atau menggunakan wayar yang menjanjikan kelajuan data lebih pantas. Layari laman web GoPro Malaysia untuk maklumat lanjut tentang kamera ini.

GoPro HERO10 Black akan dijual pada harga RM2,399. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kamera lasak ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version