Site icon TechNave BM

GoPro Hero9 mungkin akan dilengkapi skrin berwarna pada bahagian hadapan untuk kegunaan ‘vlogging’

Siri GoPro Hero adalah jenama kamera sukan yang paling terkenal dalam dunia dan kini sudah terdapat beberapa berita awal tentang model yang akan datang, GoPro Hero9 Black. Menurut sumber, kamera ini mungkin akan dilengkapi skrin berwarna di bahagian hadapan kamera bagi memudahkan pengguna untuk merekod diri mereka sendiri atau vlogging.

Sebelum ini, skrin hadapan Hero8 adalah skrin monokrom (tidak berwarna) dan hanya menunjukkan tetapan video yang sedang dirakam seperti resolusi dan kadar bingkai. Jika Hero9 Black mempunyai skrin hadapan berwarna, tentunya ia akan menarik lebih ramai pelanggan selain daripada penggiat sukan lasak untuk menggunakan kamera kecil ini.

Di samping itu, Hero9 Black juga dikhabarkan akan menyokong rakaman dalam resolusi 5K (5120 × 2880). Seperti biasa, ia akan dilengkapi ruang pemasang di bawah kamera untuk disambungkan dengan pelbagai aksesori GoPro.

Maklumat ini telah dilaporkan sebelum ini namun kali ini terdapat gambar tidak rasmi yang menunjukkan rupa skrin berwarna tersebut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan GoPro Hero9 Black dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WinFuture

Exit mobile version