Jika anda merupakan seorang pengguna Grab, anda sudah pun dapat notifikasi emel mengenai GrabAssist iaitu sebuah perkhidmatan pengangkutan khas untuk beri kemudahan kepada orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan lain-lain penunggang yang memerlukan bantuan gerakan tambahan.
Untuk menempah perkhidmatan GrabAssist, anda perlu pilih Transport dalam aplikasi Grab kemudian pilih Advance Booking. Selepas menentukan lokasi, tarikh dan masa, anda boleh pilih Assist daripada senarai perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila pengesahan dilakukan, seorang pemandu yang telah dilatih khas akan tiba pada waktu yang ditetapkan.
GrabAssist tidak ditawarkan sebagai perkhidmatan segera. Ia hanya boleh ditempah dalam masa 75 minit hingga 90 hari sebelum waktu tunggangan supaya pemandu yang sesuai boleh diarahkan untuk memberi perkhidmatan ini.
Pemandu yang menawarkan perkhidmatan GrabAssist akan menerima latihan daripada pelatih yang diiktiraf oleh kerajaan supaya mereka boleh menangani alat bantuan gerakan dengan selamat serta menawarkan perkhidmatan yang sesuai.
Kenderaan yang digunakan untuk GrabAssist berada bawah kategori Plus, bermaksud ia menawarkan ruang bonet yang lebih besar supaya ia boleh menyediakan ruang yang cukup untuk kerusi roda atau lain-lain alat bantuan gerakan.
Pengguna yang menempah GrabAssist boleh membawa bersama seorang penjaga atau rakan, selagi jumlah penunggang tidak melebihi jumlah kerusi dalam kenderaan yang dipaparkan dalam aplikasi.
Jika anda mahu batalkan tempahan GrabAssist, ia boleh dilakukan melalui aplikasi Grab namun mungkin anda akan dikenakan caj pembatalan, berdasarkan masa. Pengguna dinasihatkan untuk rujuk pada polisi Advance Booking untuk butiran penuh.
Buat masa ini, ia hanya ditawarkan kepada para pengguna di Lembah Klang sahaja. Beritahu kami di Facebook jika anda akan mengguna perkhidmatan ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Grab

