Rockstar Games mengumumkan bahawa Grand Theft Auto VI (GTA 6) kini akan dilancarkan pada Khamis, 19 November 2026 yang menandakan penangguhan kedua bagi francais permainan paling dinantikan dekad ini.
Dalam kenyataan rasmi di platform X, syarikat itu memohon maaf atas tempoh menunggu yang semakin panjang namun menjelaskan penangguhan tambahan diperlukan bagi memastikan tahap “polish” dan kualiti akhir yang dijangkakan oleh peminat.
Rockstar turut mengucapkan terima kasih atas kesabaran komuniti serta menyatakan keterujaan mereka untuk memperkenalkan negara fiksyen Leonida dan kembalinya ke Vice City era moden. GTA 6 pada asalnya dijadualkan tiba musim luruh 2025 sebelum ditunda ke 26 Mei 2026 dan kini dilanjutkan lagi hampir enam bulan ke November 2026.
Tiada sebab teknikal khusus dinyatakan, namun Rockstar menegaskan masa tambahan itu akan digunakan untuk memastikan hasil yang benar-benar berkualiti tinggi. Walaupun penangguhan ini mengecewakan ramai, majoriti peminat bersetuju bahawa masa tambahan mungkin diperlukan untuk memastikan GTA 6 mencapai tahap kemasan yang sinonim dengan reputasi Rockstar.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Rockstar Games

