Site icon TechNave BM

GV Ride dilancar di Malaysia sebagai perkhidmatan “e-hailing” yang menggunakan EV

Sektor e-hailing Malaysia kini bertambah rancak dengan kemunculan GV Ride yang akan memulakan operasi penuh pada Disember. Menariknya, GV Ride menampilkan perjalanan menggunakan kenderaan elektrik (EV) dan secara tidak langsung menjadikannya unik berbanding pesaing lain.

Syarikat ini menyasarkan untuk menggunakan 2,500 EV di Lembah Klang pada fasa pertama dengan kerjasama pembekal dari China. Menurut CEO GV Car Ventures, Kabeer Maand, usaha ini bukan sahaja memperluaskan perniagaan tetapi juga mempromosikan penggunaan EV dalam industri e-hailing.

GV Ride menawarkan kadar komisen hanya 9% kepada pemandu (lebih rendah berbanding 20% yang dikenakan oleh pesaing seperti Grab). Syarikat ini kini mempunyai 15,000 pemandu berdaftar dan mensasarkan untuk meningkatkannya kepada 50,000 pemandu menjelang akhir tahun.

Perkhidmatan seperti ini memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan e-hailing dan melengkapi ekosistem pengangkutan negara. Pada majlis itu, GV Ride juga menandatangani beberapa MoU termasuk untuk sokongan pemandu, insurans, bateri EV dan pengecasan EV. Sebagai promosi pelancaran, GV Ride menawarkan satu juta perjalanan percuma bernilai sehingga RM15.

Langkah ini dijangka menarik perhatian pelanggan sambil memperkenalkan perkhidmatan berasaskan EV kepada masyarakat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version