Site icon TechNave BM

GWM ORA 07 Long Range Ultra & Performance rasmi di Malaysia bermula RM169,800

GWM ORA 07 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, menampilkan dua varian iaitu Long Range Ultra dan Performance. Varian Long Range Ultra menawarkan 204PS dan 340Nm dengan jarak 640km manakala varian Performance memberikan 408PS dan 680Nm dengan jarak 550 km dan dapat memecut daripada 0 hingga 100 km/jam dalam masa 4.3 saat.

Kedua-dua varian mempunyai kapasiti bateri 83.499kWh dan boleh dicas cepat daripada 30% hingga 80% dalam masa 32 minit. Kereta ini menekankan pengoptimuman aerodinamik dengan pekali seretan (drag coefficient) 0.22Cd dan menampilkan pilihan dalaman mewah serta mod pemanduan yang disesuaikan untuk setiap varian.

GWM memberi keutamaan kepada keselamatan dengan struktur badan bergaya sangkar yang kuat dan sistem bantuan pemanduan pintar. Pemilik mendapat manfaat daripada pakej jaminan menyeluruh yang meliputi sehingga enam tahun atau 150,000km untuk kenderaan, lapan tahun untuk komponen kuasa bateri serta 12 tahun untuk karat dan kakisan.

500 pelanggan pertama GWM ORA 07 akan diberi pemuat dinding rumah (home wallbox charger) secara percuma serta mendapat jaminan tambahan dua tahun dengan jangka masa maksimum lapan tahun atau 180,000km. Sebagai tambahan kepada tawaran ini, pemilik GWM sedia ada akan menerima Tawaran Kesetiaan eksklusif sebanyak RM3,000 apabila mereka membeli GWM ORA 07 sebagai tanda terima kasih atas sokongan setia mereka kepada jenama tersebut.

GWM ORA 07 Long Range Ultra membawa harga RM169,800 manakala GWM ORA 07 Performance berharga RM189,800. Semakin banyak kenderaan futuristik telah dilancarkan, manakah yang menjadi pilihan anda?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version