Site icon TechNave BM

GXBank bakal lancarkan FlexiCredit, pelan pinjaman baharu

GXBank adalah salah satu bank digital pertama di Malaysia. Sejak pengumumannya pada Ogos, 750000 pengguna berdaftar telah direkodkan. Ia menyokong DuitNow dan juga pulangan tunai 1% dengan kad debit fizikal Visa. Terbaharu, GXBank mengacah pelan pinjaman wang FlexiCredit dalam laman rasminya.

FlexiCredit menjanjikan proses pinjaman wang yang mudah dilalui berbanding bank tradisional di Malaysia. Menurut GXBank, maklumat permohonan disegerakkan dan tiada borang yang perlu diisi. Selepas permohonan diluluskan, wang pinjaman akan terus dimasukkan ke dalam akaun GXBank pengguna dengan segera.

Mengenai bayaran balik, GXBank masih belum mendedahkan bayaran faedah yang akan dikenakan selain hanya memberitahu pengguna bahawa mereka hanya perlu membayar faedah ke atas jumlah yang digunakan. Bayaran balik pinjaman juga tiada caj tambahan sekiranya semuanya diselesaikan lebih awal daripada tarikh yang dijanjikan.

Buat masa ini, satu-satunya kaedah permohonan adalah melalui jemputan melalui aplikasi GXBank. Mereka yang dijemput akan diletakkan dalam senarai menunggu tanpa sebarang jaminan bahawa FlexiCredit boleh digunakan. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut tentang FlexiCredit daripada GXBank.

Sebagai makluman, GXBank adalah bank konvensional dan tidak mematuhi Syariah. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GX Bank

Exit mobile version