Kerajaan memutuskan untuk memperluaskan tahap perlindungan subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan. Pelaksanaannya berkuat kuasa bagi tempoh penggunaan elektrik bermula September hingga 31 Disember 2026.
Keputusan ini diambil bagi meringankan tekanan hidup rakyat susulan fenomena jerebu dan cuaca panas yang berlarutan. Keadaan cuaca semasa telah mendorong peningkatan penggunaan tenaga elektrik dalam kalangan isi rumah yang menyebabkan lonjakan penggunaan melebihi paras 600 kWj.
Menerusi peluasan subsidi ini, pengguna domestik yang mencatatkan penggunaan elektrik sehingga 800 kWj sebulan layak menerima pengecualian penuh daripada Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pelaksanaannya secara langsung mengurangkan jumlah perbelanjaan asas isi rumah sepanjang tempoh berkenaan. Dalam pada itu, pemantauan rapi terhadap perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa akan terus dijalankan.
Langkah ini penting bagi memastikan sebarang penyesuaian tarif elektrik pada masa hadapan kekal seimbang antara beban sara hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik negara dan kemampanan sektor tenaga secara keseluruhan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

