Site icon TechNave BM

Haier Malaysia lancarkan Mesin Basuh X Series, teknologi basuhan terkini bermula RM2,249

Haier Malaysia hari ini melancarkan siri mesin basuh premium Haier X Series yang menampilkan teknologi terkini bagi menghasilkan basuhan yang menjimatkan masa, air dan tenaga.

Haier X Series terdiri daripada tiga model utama iaitu X5, X7 dan X9. Ia menggabungkan ciri-ciri pintar dalam satu reka bentuk untuk memudahkan basuhan. Ia boleh mengesan jenis fabrik dan kadar penyerapan air secara automatik untuk mengesyorkan program cucian yang optimum dan memastikan penjagaan tepat untuk setiap muatan.

Ia mempunyai Essence Wash iaitu teknologi pracampuran dan mikrobuih Haier yang boleh melarutkan detergen secara sekata dan menyemburkannya terus ke atas fabrik untuk cucian yang mendalam. Ia boleh melengkapkan kitaran penuh dalam masa 39 minit iaitu 37% lebih cepat berbanding kitaran tradisional.

Sewaktu proses pengeringan, ia mempunyai teknologi Ultra Fresh Air yang mengeringkan dram dalaman secara automatik dan melepaskan kelembapan untuk mengelakkan bau dan kedutan yang tidak diingini. Ia menjadikan pakaian lebih bersih tanpa perlu menghidupkan sebarang tetapan atau mod tambahan.

Ia menampilkan antara muka sentuhan yang futuristik, dikenali sebagai Color AI. Ia menggunakan panel LCD sahaja tanpa sebarang kluster butang, jadi mesin basuh ini nampak lebih kemas.

Mesin basuh Haier X Series boleh dipra-tempah pada harga bermula RM2,249. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version