Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah merekodkan lebih 3.08 juta pendaftaran untuk kategori rakyat Malaysia dan pemastautin tetap (PR). PADU menjelaskan bahawa 3.08 juta orang telah mengemaskini maklumat mereka daripada 30.08 juta individu yang berada dalam pangkalan data pentadbiran sedia ada.
Ini bermakna hanya sekitar 10 peratus rakyat dan PR telah mendaftar serta mengemaskini maklumat mereka dalam sistem PADU. Angka 30.08 juta itu diperoleh daripada data sedia ada pentadbiran dengan salah satu matlamat PADU adalah untuk menambah baik data tersebut dengan maklumat yang lebih tepat dan terkini daripada rakyat Malaysia.
PADU pada asasnya membolehkan kerajaan mempunyai analisis data yang lebih tepat untuk penggubalan dasar dan pembuatan keputusan berasaskan data terutamanya subsidi bersasar. Walau bagaimanapun, pendaftaran masih rendah walaupun telah dilancarkan hampir sebulan.
Sasaran pendaftaran untuk PADU ialah 29 juta pendaftaran menjelang 31 Mac. Ini bermakna 25.92 juta rakyat dan PR perlu mendaftar dan mengemaskini maklumat mereka dalam masa kurang dari 2 bulan untuk sasaran itu dicapai. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Facebook PADU

