Site icon TechNave BM

Harga ASUS ZenFone 10 tertiris dalam laman web ASUS sendiri, mungkin serupa dengan ZenFone 9

ASUS dikhabar bakal melancarkan siri telefon pintar andalan seterusnya, ASUS ZenFone 10, dalam masa terdekat. ASUS telah melancarkan sebuah laman web khas di mana pelawat boleh menilai sendiri gambar-gambar yang dipapar untuk menentukan pemprosesan imej dalam ZenFone 10.

Selepas melihat gambar-gambar yang dipaparkan, pelawat boleh mengundi dan memberi maklum balas mengenainya, kemudian ASUS akan melaraskan kamera ZenFone 10 berdasarkan maklum balas tersebut. Pelawat juga boleh menyertai sebuah cabutan bertuah untuk memenangi ZenFone 10 apabila ia dilancar kelak.

Jika dilihat pada ruangan terma dan syarat untuk laman web ZenFone 10 itu, ia menyatakan harga untuk “hadiah” cabutan bertuah itu ialah sebanyak USD749 (~RM3,450). Memandangkan “hadiah” yang dimaksudkan ialah ZenFone 10, kita boleh andaikan bahawa itu adalah harga pasaran untuk ZenFone 10.

Maklumat mengenai harga ZenFone 10
Contoh gambar yang ditunjuk dalam laman web ASUS ZenFone 10 Blind Test

Siri ZenFone terkenal sebagai sebuah telefon pintar yang dilengkapi spesifikasi tercanggih pada setiap tahun, namun ditawarkan dalam reka bentuk kompak yang semakin jarang dilihat untuk telefon Android. Pada tahun lalu, ZenFone 9 dilancar pada Julai 2022, jadi kita boleh jangkakan waktu yang serupa untuk tahun ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ASUS

Exit mobile version