Site icon TechNave BM

Harga Samsung Galaxy Z Fold3 5G dan Flip3 5G untuk pasaran Malaysia diumum, bermula RM3,999

Samsung telah melancarkan dua telefon pintar lipat terbaru pada 11 Ogos lalu iaitu Samsung Galaxy Z Fold3 5G dan Samsung Galaxy Z Flip3 5G. Kini, Samsung Malaysia telah pun mengumumkan harga kedua-dua telefon tersebut untuk pasaran tempatan.

Galaxy Z Fold3 5G akan dijual pada harga RM6,699 untuk varian 256GB dan RM7,099 untuk varian 512GB. Sementara itu, Galaxy Z Flip3 5G akan dijual pada harga bermula RM3,999 untuk varian 128GB dan RM4,199 untuk varian 256GB. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehebatan dua telefon lipat ini, pastikan anda baca artikel pelancaran untuk Galaxy Z Fold3 5G dan Galaxy Z Flip3 5G.

Samsung Malaysia turut mengumumkan harga untuk fon telinga wayarles terbaru Samsung Galaxy Buds2 iaitu RM499.

Selain itu, siri jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch4 pula akan dilancarkan dalam dua varian saiz iaitu 40mm (RM899) dan 44mm (RM999). Varian 40mm akan ditawarkan dalam warna hitam, perak dan emas, manakala varian 44mm akan dijual dalam warna hitam, perak dan hijau.

Buat mereka yang gemarkan rekaan premium, Samsung Galaxy Watch4 Classic akan dijual pada harga RM1,299 untuk varian 42mm dan RM1,399 untuk varian 46mm. Ia akan ditawarkan dalam warna hitam dan perak.

Pra-tempahan untuk semua produk di atas akan dibuka pada 19 Ogos hingga 21 September 2021. Setiap pra-tempahan untuk Flip3 atau Fold3 akan menerima perlindungan Samsung Care+ dan baucar Samsung Malaysia Online Store sehingga RM850. Pra-tempahan untuk Galaxy Watch4 Classic atau Watch4 Bluetooth pula akan menerima baucar sehingga RM250.

Pra-tempahan boleh dibuat di laman web Samsung Malaysia, kedai Samsung Experience Stores atau pengedar sah Samsung Authorised Partners. Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli mana-mana produk di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version