Site icon TechNave BM

Harga siri realme 10 Pro didedahkan sebelum pelancaran di Malaysia pada 8 Disember

Siri realme 10 Pro akan masuk ke pasaran Malaysia pada 8 Disember ini. Seperti biasa, sebelum pelancaran pasti akan terdapat beberapa maklumat yang didedahkan di mana kini, laporan baharu memberitahu harga peranti siri tersebut.

Sudhanshu Ambhore di Twitter telah mendedahkan harga realme 10 Pro dan realme 10 Pro+ untuk Malaysia. Menurut Ambhore, realme 10 Pro akan berharga RM1,299 untuk varian 8/256GB manakala model Pro+ akan dijual pada harga RM1,799 untuk varian 12/256GB. Kedua-dua harga adalah untuk konfigurasi tinggi, oleh itu ada kemungkinan terdapat beberapa pilihan lain yang lebih murah.

realme 10 Pro dan Pro+ membawa reka bentuk kulit belakang yang sama. Walau bagaimanapun, realme 10 Pro menampilkan paparan IPS LCD FHD+ rata 6.72 inci manakala Pro+ dilengkapi dengan paparan AMOLED tepi melengkung. Kedua-duanya menyokong kadar penyegaran semula 120Hz. 

Selain itu, kedua-dua peranti dikuasakan oleh kapasiti bateri 5,000mAh, namun realme 10 Pro menyokong pengecasan pantas 33W dan Pro+ pula dilengkapi dengan pengecasan pantas 66W. Anda juga boleh semak artikel sebelum ini mengenai promosi pra-tempah yang dijalankan untuk memenangi hadiah menarik bernilai RM2,999.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version