Baru-baru ini, kekurangan cip global telah memberi kesan yang teruk kepada beberapa industri termasuklah industri automotif, telefon pintar dan komputer. Disebabkan ini, terdapat beberapa pengeluar terpaksa mengurangkan atau menghentikan pengeluaran produk mereka.
Terbaru, presiden realme China, Xu Qi menyatakan bahawa kekurangan cipset ini akan memberikan kesan kepada lebih banyak barisan produk mereka. Beliau juga menyatakan bahawa harga bateri, cipset dan bahan mentah yang lain akan naik bermula separa tahun tahun ini (H2 2021).
Sebelum ini, CEO Xiaomi, Lei Jun juga telah memberi kenyataan yang sama. Beliau memberitahu kekurangan cip ini mungkin akan berlangsung selama dua tahun dan pengguna akan merasakan produk elektronik akan menjadi lebih sukar untuk dibeli akibat harga yang lebih tinggi.
Akibat dari masalah global ini, pengeluar cip terbesar dunia, Foxconn juga telah mengurangkan penghantaran cip sebanyak 10%. Selain dari itu, kad grafik RTX GPU juga dilihat telah menaik hampir tiga kali ganda dari harga asalnya.
Jadi, telefon pintar dijangka akan dijual dengan harga yang lebih tinggi tidak lama lagi (mungkin selepas bulan Jun). Kami menjangkakan bahawa peranti baru mungkin akan hadir dengan spesifikasi yang hampir sama berbanding generasi lalu untuk mengekalkan harga yang mampu milik.
Nantikan berita lanjut mengenai hal ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber : Mydrivers

