Site icon TechNave BM

Harga untuk Samsung Galaxy Z Fold2 dan Galaxy Z Flip dikurangkan sebanyak RM1,889

Jika anda berminat untuk memiliki telefon lipat Samsung Galaxy Z Fold2 dan Samsung Galaxy Z Flip, anda kini boleh memiliki telefon tersebut dengan lebih murah kerana Samsung Malaysia telah menurunkan harga kedua-dua peranti. Mulai hari ini, Samsung Galaxy Z Fold2 dijual pada harga RM6,999 (harga asal RM7,999) manakala Samsung Galaxy Z Flip pada harga RM3,999 (harga asal RM5,888).

Pelanggan tidak akan menerima sebarang hadiah bersama telefon tersebut, namun ia masih terdapat dalam beberapa pilihan warna. Galaxy Z Fold2 dijual dalam warna emas Mystic Gold dan hitam Mystic Black, manakala Galaxy Z Flip terdapat dalam pilihan warna emas Mirror Gold, hitam Mirror Black dan ungu Mirror Purple.

Samsung Galaxy Z Fold2 dilengkapi cipset Snapdragon 865+, RAM 12GB, storan 256GB, skrin utama Dynamic AMOLED 2X 7.6 inci, skrin luaran Super AMOLED 6.23 inci, tiga kamera 12MP dan bateri 4,500mAh.

Samsung Galaxy Z Flip pula menampilkan rekaan lipat yang berlainan dengan Fold2 di mana ia dilipat dengan engsel mendatar. Ia dilengkapi cipset Snapdragon 855+, RAM 8GB, storan 256GB, skrin utama Dynamic AMOLED berukuran 6.7 inci, bateri 3,300mAh dan dua kamera 12MP.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki mana-mana peranti lipat menarik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version