Site icon TechNave BM

Hari Raya Aidilfitri disambut Sabtu ini, anak bulan Syawal tidak kelihatan

Hari Raya Aidilfitri di Malaysia ditetapkan jatuh pada Sabtu, 21 Mac selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan ketika proses cerapan dilakukan di 29 lokasi di seluruh negara pada petang ini. Pengumuman rasmi tersebut dibuat oleh Syed Danial Syed Ahmad selaku Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi siaran televisyen bagi pihak Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, penetapan tarikh tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Sehubungan itu, umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu selepas menamatkan ibadah puasa Ramadan yang bermula pada 19 Februari lalu.

Sementara itu, Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan cuti tambahan sempena Aidilfitri sekiranya sambutan perayaan tersebut jatuh pada hari Sabtu. Kerajaan juga melaksanakan diskaun 50% tol di lebuh raya seluruh negara bagi membantu orang ramai pulang ke kampung halaman.

Diskaun tol tersebut mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam semalam dan akan berakhir pada jam 11.59 malam hari ini yang melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di kebanyakan lebuh raya utama.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan lebih 3.49 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama ketika tempoh puncak perjalanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version