Harman Kardon telah melancarkan siri terbaharunya, Harman Kardon Enchant, yang termasuk bar suara Enchant 1100, Enchant 900, Pembesar Suara Enchant, Subwufer Enchant dan Onyx Studio 9. Siri ini direka untuk memberikan pengalaman audio sinematik 3D di rumah dengan menggabungkan reka bentuk elegan dan kualiti bunyi yang tinggi.
Bar suara Enchant 1100 hadir dengan 11 pemacu manakala Enchant 900 hadir dengan 9 pemacu yang menggunakan teknologi MultiBeam™ dan Dolby Atmos untuk menyampaikan audio yang lunak. Enchant 1100 juga menyokong DTS untuk pengalaman audio yang lebih mendalam.
Kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi PureVoice™ untuk memastikan dialog yang jelas walau pada kelantangan tinggi. Pembesar Suara dan Subwufer Enchant boleh disambungkan secara wayarles ke bar suara untuk meningkatkan kesan bunyi keliling. Kedua-duanya juga menawarkan penentukuran bunyi automatik untuk prestasi optima.
Menariknya, siri Enchant dibuat menggunakan bahan kitar semula termasuk 100% benang poliester dan 100% aluminium kitar semula dalam rekaan bar suara. Seterusnya, aplikasi Harman Kardon One membolehkan pengguna menyambung dan mengawal sistem melalui Wi-Fi serta menyokong pelbagai fungsi seperti AirPlay, Chromecast Built-in™ dan Spotify Connect.
Akhir sekali, Harman Kardon turut memperkenalkan Onyx Studio 9 iaitu pembesar suara Bluetooth mudah alih dengan reka bentuk yang moden dan bunyi berkuasa. Dilengkapi dengan tiga tweeter dan satu woofer, pembesar suara menyampaikan liputan audio yang luas yang mewujudkan sweet spot yang besar untuk pendengar.
Ia menampilkan bateri yang menyediakan sehingga 8 jam main balik dan menyokong Bluetooth Auracast (sambungan berbilang peranti). Harman Kardon Enchant 1100 dan Enchant Speaker tersedia dalam pasaran tempatan sejak September 2024 dengan masing-masing berharga RM4,899 dan RM1,599.
Onyx Studio 9 pula akan tersedia pada November 2024 pada harga RM1,299 manakala Enchant 900 dan Enchant Sub akan tiba pada Disember 2024 dengan masing-masing berharga RM3,499 dan RM2,499. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri Harman Kardon Enchant dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

