Selain Aura Studio 5, Harman Kardon Malaysia hari ini turut melancarkan Harman Kardon SoundSticks 5 iaitu pembesar suara premium yang boleh menghasilkan audio jelas dan mempunyai rekaan yang cantik.
Ia menampilkan prestasi akustik yang dinaik taraf dengan integrasi tweeter baharu pada setiap pembesar suara satelit untuk rekaan akustik tiga hala. Subwufer berhala ke bawah menghasilkan bass yang mendalam dan tepat, manakala tweeter kubah sutera berkembar (dual silk dome tweeter) serta pemacu julat sederhana (mid-range drivers) memberikan kejelasan yang tinggi pada vokal dan instrumen.
Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu putih lutsinar dan hitam berkilau seperti kaca berasap. Sistem pencahayaannya terdiri daripada lima tema dinamik dan warnanya boleh berubah mengikut alunan muzik.
Ia mempunyai kawalan sentuh yang berada di bahagian bawah pembesar suara satelit kanan untuk mengubah tetapan asas. Untuk kawalan terperinci seperti pencahayaan, tetapan EQ dan banyak lagi boleh diakses melalui aplikasi Harman Kardon ONE.
Untuk sambungan wayarles, ia boleh dihubungkan kepada peranti anda melalui Bluetooth 5.4 atau Auracast untuk disambungkan kepada beberapa pembesar suara serentak. Ia juga boleh dihubungkan kepada mana-mana televisyen moden melalui kabel HDMI ARC bagi menyediakan Dolby Audio berkualiti tinggi untuk filem, siri televisyen dan gaming.
SoundSticks 5 akan dijual di Malaysia pada harga RM1,899. Ia boleh didapati di Lazada, Shopee atau Swap Asia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan pembesar suara ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

