Site icon TechNave BM

HarmonyOS mungkin dibina berdasarkan Android 10

Laman web teknologi ArsTechnica mendapati sistem operasi telefon pintar oleh HUAWEI, HarmonyOS, adalah sebuah sistem yang dibina daripada Android 10. Penulis daripada laman web tersebut menghuraikan HarmonyOS sebagai sebuah fork Android daripada Android Open Source Project (AOSP) yang mempunyai unsur antara muka EMUI.

Dalam sistem operasi tersebut, beberapa maklumat aplikasi menunjukkan bahawa ia dibina berdasarkan Android, seperti “Android Services Library”, “Android Shared Library”, “com.Android.systemui.overlay”, “Androidhwext” dan banyak lagi. Jika butiran untuk “HarmonyOS System” dibuka, ia akan menunjukkan ikon Android serta “Version 10” yang merujuk kepada Android 10.

Di samping itu, ArsTechnica juga melaporkan bahawa cara untuk memuat turun Software Development Kit (SDK) untuk HarmonyOS adalah agak rumit serta akan menyukarkan sistem operasi itu untuk bersaing dengan Android dan iOS yang menawarkan SDK mudah. Mana-mana pembina aplikasi yang ingin mendapatkan SDK HarmonyOS perlu menyerahkan butiran pasport, kad kredit, kad identiti dan pelbagai maklumat peribadi.

Sebelum ini, HUAWEI mengatakan bahawa HarmonyOS adalah sistem operasi yang baru sepenuhnya dan tidak berdasarkan iOS atau Android. Walau bagaimanapun, laporan ArsTechnica ini mungkin menunjukkan sebaliknya. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ArsTechnica

Exit mobile version