Site icon TechNave BM

HarmonyOS untuk telefon pintar bakal dilancar 2 Jun ini!

Pada hari ini, HUAWEI mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan perisian HarmonyOS 2.0 di China pada 8 malam 2 Jun ini. Buat masa ini, perisian HarmonyOS (nama lain Hongmeng OS) telah pun sedia ada untuk peranti seperti IoT dan televisyen. Kini, HarmonyOS akan diperkenalkan pada telefon pintar dan tablet sebagai pesaing utama Android OS.

Pada awal 2019 lalu, HUAWEI menyatakan bahawa mereka ingin menjadi pengeluar telefon pintar terbesar dunia. Namun, pada Mei 2019, kerajaan Amerika Syarikat telah memasukkan HUAWEI ke senarai entiti, selagi gus menghalang HUAWEI dari melakukan perniagaan dengan syarikat dari Amerika Syarikat termasuklah Google.

Disebabkan itu, pada Ogos 2019, HUAWEI mengumumkan HarmonyOS 1.0 sebagai alternatif kepada perisian Android OS. Seperti Android, HarmonyOS juga adalah projek sumber terbuka (open-source) yang berasaskan Linux.

Sumber dalam talian menyatakan bahawa versi Beta untuk HarmonyOS mempunyai persamaan dengan Android OS. Jadi, HarmonyOS 2.0 dijangka akan menawarkan pengalaman yang serupa dengan versi terkini Android OS.

Di acara HUAWEI China Ecological Conference 2021 yang berlangsung tidak lama lalu, HUAWEI menyatakan bahawa HarmonyOS adalah hak milik mereka sepenuhnya dan ia direka untuk mengurangkan kebergantungan kepada Android. Mereka menyatakan bahawa lebih 200 juta peranti HUAWEI dan 100 juta peranti jenama lain akan menggunakan HarmonyOS pada tahun ini.

Pada 2 Jun ini, selain HarmonyOS, HUAWEI juga dikhabarkan akan melancarkan tablet HUAWEI MatePad Pro 2 dan jam tangan pintar Watch 3.

Adakah anda peminat peranti dari HUAWEI? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version