Site icon TechNave BM

Hati-hati dengan pihak yang menyamar sebagai wakil Pos Laju!

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuat kuasakan sehingga 9 Jun ini, tentunya sebarang urus niaga di platform e-dagang meningkat dengan banyak dan perkhidmatan penghantaran juga turut meningkat sama. Dalam pada itu, Pos Malaysia Berhad mengingatkan rakyat Malaysia agar berwaspada dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai wakil Pos Laju.

Mereka mengingatkan para pelanggan agar tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan sebagainya menerusi telefon, SMS, emel atau media sosial kepada mana-mana pihak yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada Pos Malaysia atau syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya.

Sebelum ini, seorang wanita telah ditipu oleh pihak yang menyamar sebagai wakil daripada Pos Laju. Wanita tersebut mengalami kerugian sebanyak RM800,000.

Untuk makluman, tindakan tersebut adalah bertentangan dengan polisi syarikat Pos Malaysia dan mungkin digunakan untuk memperdaya dan mendapatkan maklumat peribadi. Bagi mengesan sebarang bungkusan dengan Pos Malaysia, pelanggan dinasihati melakukannya di laman sesawang atau aplikasi mudah alih rasmi.

Pernahkah anda dihubungi oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab ini? Kongsikan pengalaman anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version