Site icon TechNave BM

Hati-hati dengan “WhatsApp Gold” yang boleh merosakkan telefon anda

Portal pembasmian berita palsu, Sebenarnya.my, menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan mesej tular yang kononnnya menawarkan sebuah pautan muat turun WhatsApp Gold dan sebuah video bertajuk Gambarelli yang dipercayai mengandungi virus.

Berdasarkan pemeriksaan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), mesej yang disebarkan adalah mesej yang dikitar semula sejak Mei 2016 seperti yang dilaporkan oleh akhbar United Kingdom, The Sun UK.

Kononnya, WhatsApp Gold mempunyai ciri-ciri lebih seperti panggilan video, penghantaran gambar sehingga 100 keping dalam satu mesej dan pemadaman mesej yang sudah dihantar selepas beberapa jam. Pautan yang membawa pengguna untuk ‘memuat turun’ WhatsApp Gold sebenarnya akan membawa pengguna ke satu laman web yang mengadungi perisian hasad (malware).

Mesej itu turut menyertakan amaran terhadap video bertajuk “Gambarelii/Martinelli” yang mengandungi virus, namun Sebenarnya.my melaporkan tiada bukti bahawa video itu wujud.

TechNave berharap para pembaca akan selalu berwaspada dengan taktik kotor oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sebenarnya.my

Exit mobile version