Site icon TechNave BM

Hati-hati jika anda gunakan Zoom untuk mesyuarat dalam talian!

Jika syarikat anda menggunakan aplikasi Zoom untuk mengadakan mesyuarat dalam talian sewaktu Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), anda perlu berhati-hati kerana mesyuarat anda mungkin boleh diceroboh penggodam dan mereka akan meletakkan gambar yang tidak senonoh dalam mesyuarat anda.

Baru-baru ini, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat memberi amaran bahawa beberapa mesyuarat Zoom telah diceroboh dengan gambar-gambar lucah serta bahasa kesat. Satu contoh adalah sebuah sekolah yang menganjurkan kelas dalam talian telah diceroboh dengan teruk oleh seorang penggodam di mana dia menjeritkan kata-kata kesat dan alamat rumah guru yang sedang mengajar.

Sementara itu, pengguna media sosial pula menggunakan tanda palang #ZoomBombed, di mana mereka menceritakan pengalaman diceroboh dengan gambar lucah atau berunsurkan perkauman dalam panggilan Zoom mereka.

FBI mencadangkan agar pengguna Zoom menetapkan mesyuarat mereka agar lebih peribadi (private) dan elakkan perkongsian skrin (screen sharing) untuk mengurangkan risiko serangan oleh penggodam.

Populariti Zoom baru-baru ini naik mendadak berikutan kawalan pergerakan dalam banyak negara di mana rakyatnya tidak dibenarkan keluar dari rumah untuk urusan kerja. Beritahu kami di Facebook jika syarikat anda turut menggunakan Zoom dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Malay Mail

Exit mobile version