Site icon TechNave BM

Honda rancang hasilkan kereta elektrik sepenuhnya pada 2040

Untuk mencapai sasaran bebas karbon, syarikat automotif Honda merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan sel tenaga (FCV) sepenuhnya pada 2040. Mereka mengumumkan matlamat tersebut dalam sebuah sidang media antarabangsa pada 23 April.

Syarikat kenderaan Jepun itu menjangkakan jualan EV dan FCV akan terdiri daripada 40% untuk keseluruhan jualan kenderaan menjelang 2030 dan meningkat kepada 80% pada 2035. Demi mencapai matlamat ini, Honda telah melancarkan e:Architecture iaitu sebuah platform seni bina EV baru oleh syarikat tersebut, di mana kenderaan pertama dengan platform itu bakal dilancar di Amerika Utara sebelum disebarkan ke negara lain.

Daripada segi bateri, Honda akan menggunakan sistem bateri Ultium daripada General Motors (GM) yang baru diumum pada awal bulan ini. Buat masa ini, Honda dan GM sedang membangunkan dua buah SUV yang dilengkapi bateri tersebut, di mana sebuah SUV akan mempunyai jenama Acura dan sebuah lagi berjenama Honda. Kenderaan ini dirancang untuk dilancar dalam pasaran Amerika Utara pada 2024.

Untuk tujuan keselamatan, Honda akan melengkapkan semua kenderaan mereka dengan sistem bantuan pemandu (advanced driver-assistance system, ADAS) pada 2030, iaitu sebuah naik taraf daripada teknologi Honda Sensing yang ada dalam kenderaan Honda sekarang. Syarikat itu berharap ini dapat mengurangkan jumlah pelanggaran trafik melibatkan kenderaannya kepada sifar.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Honda

Exit mobile version