Site icon TechNave BM

HONOR Jerman sahkan HONOR 50 bakal dilengkapi perkhidmatan Google

Jenama teknologi HONOR bakal melancarkan siri telefon pintar HONOR 50 dan ia merupakan produk yang sangat dinantikan oleh peminat jenama tersebut, namun antara persoalan yang kerap ditanya adalah sama ada telefon itu bakal dilengkapi perkhidmatan Google Mobile Services (GMS).

Kini, akaun Twitter rasmi untuk HONOR Jerman telah mengesahkan bahawa siri HONOR 50 akan dilengkapi GMS. Mereka menulis kenyataan tersebut dalam satu ciapan yang ditanyakan oleh seorang pengguna di Jerman.

Ini adalah kenyataan yang penting kerana para pengguna masih tidak tahu sama ada telefon HONOR boleh dilengkapi GMS, memandangkan ia merupakan bekas syarikat yang berada di bawah naungan HUAWEI iaitu sebuah jenama yang tidak boleh menggunakan GMS dalam peranti mereka. HONOR telah pun berpisah daripada HUAWEI sejak November 2020 apabila ia dijual kepada sebuah konglomerat pihak ketiga.

HONOR 50 sudah pun disahkan akan dilengkapi Snapdragon 778G, cipset kelas pertengahan terbaru daripada Qualcomm iaitu sebuah lagi syarikat Amerika Syarikat (AS) yang boleh berurusan dengan HONOR. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri HONOR 50 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Twitter

Exit mobile version