Site icon TechNave BM

HONOR kini di haluan baru, mungkin hadir dengan Google dan cipset Snapdragon

Baru-baru ini, kami telah memaklumkan mengenai HUAWEI yang telah bersetuju menjual HONOR kepada syarikat di China bernama Shenzen Zhixin New Information Technology. Memandangkan HONOR kini berada di haluan baharu, terdapat beberapa perkara yang boleh dijangkakan untuk peranti HONOR terutamanya telefon pintar.

Menurut sumber, peranti HONOR mungkin bakal hadir dengan Google Mobile Services (GMS) selepas ini kerana ia sudah tidak mempunyai hubungan dengan HUAWEI. Selain itu, peminat HONOR juga boleh menjangkakan sistem operasi antara muka baharu seperti Magic UI yang direka semula atau sistem antara muka baharu. Mungkin HONOR bakal mengikut langkah vivo yang baru sahaja memperkenal OriginOS.

Lebih menarik, HONOR mungkin sekali lagi akan dijana cipset Qualcomm Snapdragon seperti HONOR 8C dan lain-lain yang terdahulu. Kebanyakan peranti HONOR bermula pada tahun 2019 telah dijana cipset HUAWEI Kirin dan MediaTek. Memandangkan ia kini bukan di bawah naungan HUAWEI, mungkin kita boleh menanti peranti HONOR baru dengan cipset Snapdragon.

Kesemua jangkaan ini apa pun pastinya memerlukan tempoh masa tertentu untuk dilaksanakan. Namun, ia adalah perubahan yang baik. Apakah pandangan anda mengenai hal ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version