Telefon lipat selalunya sinonim dengan isu rapuh, engsel longgar dan skrin mudah rosak. Tetapi HONOR nampaknya cuba menghentikan stigma tersebut secara terus menerusi HONOR Magic V6. Menjelang pelancaran rasmi di Malaysia pada 4 Jun 2026, HONOR melakukan satu demonstrasi yang agak tidak masuk akal dengan menggunakan Magic V6 untuk menarik sebuah kapal terbang seberat 1.25 tan.
Acara berlangsung di SkyPark Regional Aviation Centre di mana HONOR mendakwa Magic V6 berjaya mencipta rekod ASIA untuk kategori “Heaviest Aircraft Towed by a Foldable Smartphone”. Ia digunakan untuk menarik pesawat Diamond DA42 sejauh 150 meter. Kalau itu masih belum cukup keterlaluan, HONOR turut memperlihatkan beberapa lagi ujian ketahanan termasuk menarik sebuah Ferrari dan menggunakan telefon itu sebagai pull-up bar.
Menariknya, Magic V6 masih berfungsi seperti biasa selepas semua demonstrasi selesai. HONOR mengatakan rahsia utama ketahanan terletak pada sistem engsel baharu “Super Steel Hinge”. Engselnya didakwa mempunyai kekuatan tegangan sehingga 2,800 MPa yang menurut HONOR lebih kukuh daripada struktur A-pillar pada kereta. Lebih penting, HONOR mendakwa engsel tersebut sudah melepasi ujian 500,000 kali lipatan.
Secara teori, itu bersamaan lebih sedekad penggunaan harian tanpa perlu risau tentang isu lipatan longgar atau kegagalan mekanikal. Bukan itu sahaja, Magic V6 juga menggunakan sistem AI-assisted bionic cushioning yang direka untuk menyerap impak dalaman ketika telefon jatuh. Pendek kata, HONOR cuba memastikan kerosakan tidak terus dipindahkan kepada komponen penting dalam badan peranti.
Untuk bahagian skrin pula, HONOR nampaknya benar-benar fokus pada ketahanan. Paparan luar kini dilindungi oleh Anti-Scratch Nano Crystal Shield yang menggunakan salutan silikon nitrida 5,600 lapisan. HONOR mendakwa teknologi ini memberikan 10 kali ganda ketahanan jatuhan, 15 kali ganda ketahanan calar dan 3 kali ganda anti-pantulan lebih baik.
Untuk membuktikannya, HONOR sendiri melakukan ujian wire brush drill secara langsung pada skrin telefon ketika acara berlangsung. Paparan dalaman pula menggunakan teknologi Magic Diamond Screen bersama struktur Ultra-Thin Glass (UTG) untuk mengurangkan kesan lipatan pada tengah skrin sambil meningkatkan kestabilan jangka panjang. Apa yang benar-benar menarik perhatian ialah penarafan IP68 dan IP69 yang dibawa oleh Magic V6.
Ini menjadikannya antara telefon lipat paling tahan lasak daripada sudut kalis air dan habuk dalam pasaran sekarang. Menurut HONOR, Magic V6 mampu bertahan dalam air sedalam 1.5 meter yang merupakan sesuatu yang masih jarang dilihat pada kebanyakan telefon lipat premium. Walaupun spesifikasi penuh masih dirahsiakan, HONOR mengesahkan Magic V6 akan hadir dalam empat warna seperti Ferghana Red, Sunrise Gold, Ivory White dan Classic Black
Dengan badan hanya 8.75mm ketika dilipat, HONOR cuba menjadikan Magic V6 sebagai bukti bahawa telefon lipat moden bukan lagi sekadar cantik dan nipis, tetapi juga cukup keras untuk melakukan perkara yang sebelum ini nampak mustahil. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

