Site icon TechNave BM

HONOR Magic3 bakal jadi telefon pertama dengan storan UFS 3.1 yang diperbaharui

Siri telefon pintar andalan HONOR Magic3 bakal dilancar pada 12 Ogos dan kini terdapat lebih banyak maklumat tentang telefon itu dengan tarikh pelancaran yang semakin hampir. Terbaru, HONOR Magic3 telah disahkan bakal menjadi telefon pertama yang dilengkapi teknologi storan dalaman 176-Layer NAND Universal Flash Storage (UFS) 3.1.

Storan tersebut bakal dihasilkan oleh syarikat elektronik dari Amerika Syarikat, Micron Technology, dan mereka mengatakan storan UFS 3.1 ini bakal menawarkan kelajuan yang lebih pantas sebanyak 75% berbanding generasi sebelumnya. UFS 3.1 ini bakal dibuat dengan seni bina 176-Layer NAND bagi menawarkan spesifikasi pantas dalam bentuk yang kecil.

Micron mengatakan ia mampu memuat turun fail dari internet pada kadar 1,500 MB sesaat, di mana video YouTube 4K selama 10 minit boleh dimuat turun sepantas 0.7 saat atau filem 4K selama dua jam boleh dimuat turun sepantas 9.6 saat.

176-Layer NAND UFS 3.1 turut menawarkan peningkatan prestasi dalam hubungan telekomunikasi, di mana Micron berkata ia boleh mengurangkan masa tindak balas (latency) sebanyak 10%. Syarikat itu juga menginginkan lebih banyak telefon premium untuk dilengkapi dengan 176-Layer NAND UFS 3.1 bagi menawarkan prestasi tertinggi.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan storan 176-Layer NAND UFS 3.1 dalam lebih banyak telefon pintar dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Micron Technology

Exit mobile version