HONOR Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar andalan (flagship) yang seterusnya, HONOR Magic7 Pro, pada 9 Januari 2025. Sebagai sebuah telefon kategori andalan yang menawarkan pelbagai fungsi canggih, ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang menyediakan prestasi terpantas untuk telefon Android pada 2025.
Selain dilengkapi pelbagai spesifikasi canggih, ini merupakan telefon pertama dalam dunia yang dilengkapi teknologi khas untuk membanteras video palsu yang dibuat secara deepfake. Dengan teknologi AI Deepfake Detection, ia akan mengesan jika sebuah video itu mempunyai unsur-unsur gubahan AI dan jika ia merupakan video deepfake, Magic7 Pro akan memberitahu pengguna mengenainya.
Terdapat juga Magic Portal 2.0 di mana anda boleh seret (drag) fail atau gambar ke dalam dalam aplikasi lain seperti drag to shop, drag to navigation, drag to share, drag to email, drag to search dan drag to Parallel Space.
Selain itu, aplikasi Notes juga mempunyai beberapa fungsi AI seperti AI Summary untuk meringkaskan artikel panjang, AI Minutes untuk merumuskan rakaman audio panjang dan AI Format untuk menyusun tulisan mengikut stail berbeza.
Untuk rekaan, telefon ini dibina dengan NanoCrystal Shield yang menawarkan ketahanan lebih tinggi sebanyak 10 kali ganda berbanding kaca biasa. Ia juga mempunyai rating kalis air IP68 dan IP69.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Magic7 Pro dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

