Site icon TechNave BM

HONOR Magic8 Ultra dijangka dilancar awal 2026 dengan pengecasan pantas 120W

Berita mengenai kemunculan peranti baharu daripada HONOR kembali hangat apabila maklumat terkini mengesahkan bahawa telefon pintar andalan mereka yang dinanti-nantikan, HONOR Magic8 Ultra semakin hampir ke pelancaran rasmi. Walaupun butiran awal hanya berdasarkan spekulasi industri, perkembangan terbaru daripada badan pensijilan 3C di China mengesahkan satu ciri utama iaitu sokongan pengecasan berwayar 120W.

Model dengan nombor BKQ-AN20 itu menunjukkan bahawa HONOR sedang bersedia untuk membawa pengalaman pengecasan ultra-pantas ke tahap baharu, mengatasi banyak pesaing dalam segmen telefon pintar premium. Selain pengecasan berkuasa tinggi, sumber turut mendedahkan bahawa Magic8 Ultra akan dikuasakan cipset Snapdragon 8 Elite 5, menjadikannya antara peranti paling berkuasa yang akan memasuki pasaran 2026.

Peranti ini juga dijangka menampilkan bateri yang lebih besar daripada sel 7,200mAh pada Magic8 Pro bersama teknologi kamera utama OV50R LOFIC yang disasarkan untuk bersaing secara langsung dengan Xiaomi 17 Ultra. Tambahan pula, Magic8 Ultra dilaporkan hadir dengan sokongan sambungan satelit yang merupakan satu ciri premium sebagai penanda aras telefon pintar kelas tertinggi.

Dengan gabungan prestasi, kamera jarak jauh bertaraf andalan dan inovasi bateri, HONOR dilihat bersedia mencipta saingan sengit dalam arena telefon pintar Ultra tahun depan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version