Site icon TechNave BM

HONOR Magic9 Pro Max sah bakal dilancar secara global pada Januari 2027

HONOR mengesahkan bahawa siri telefon pintar mercu terbaharunya, siri HONOR Magic9, bakal memasuki pasaran global pada Januari 2027. Pengumuman dibuat berikutan pelancaran rasmi siri berkenaan di pasaran China baru-baru ini. Laman web rasmi HONOR bagi pasaran UK dan Perancis kini mula mempromosikan model HONOR Magic9 Pro Max secara terbuka.

Di China, siri HONOR Magic 9 diperkenalkan dalam tiga pilihan model iaitu HONOR Magic9, Magic9 Super dan Magic9 Pro Max. Walau bagaimanapun, HONOR hanya mengesahkan kehadiran model Magic9 Pro Max setakat ini bagi pasaran luar China manakala penglibatan varian lain masih belum dipastikan secara rasmi.

Bagi spesifikasi pasaran Eropah, HONOR Magic9 Pro Max disahkan hadir dengan varian RAM 12GB yang dipadankan bersama pilihan storan dalaman 256GB atau 512GB. Siri HONOR Magic 9 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Shadow Black, Moss Green dan Glacier Silver.

Maklumat mengenai tarikh pelancaran khusus serta harga jualan rasmi di pasaran Malaysia masih belum diumumkan dan dijangka akan didedahkan menjelang hari pelancaran kelak. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version