Site icon TechNave BM

HONOR MagicBook X 14 dan X 15 dilancar: Komputer riba Intel 10th Gen bermula ~RM2,855

HONOR telah melancarkan siri komputer riba terbaru di iaitu MagicBook X yang terdiri daripada MagicBook X 14 dan MagicBook X 15. Kedua-dua varian dilengkapi cipset Intel generasi ke-10, di mana pelanggan boleh pilih di antara Core i5-10210U atau Core i3-10110U.

Seperti yang tertera pada namanya, MagicBook X 14 dilengkai skrin berukuran 14 inci manakala MagicBook X 15 pula dilengkapi skrin 15.6 inci, kedua-duanya dalam resolusi 1920×1080. Ia dilengkapi pengiktirafan TUV Rheinland untuk mengurangkan pancaran cahaya biru untuk keselesaan mata pengguna.

Daripada segi memori, komputer ini dilengkapi RAM 8GB atau 16GB manakala storannya pula adalah SSD PCIe NVMe 256GB atau 512GB. Baterinya pula mempunyai kapasiti 56Wh yang menyokong pengecasan pantas 65W melalui penghubung USB-C, manakala port I/O terdiri daripada USB-A 3.0 Gen 1, USB-C, USB-A 2.0, HDMI dan bicu audio 3.5mm.

Setakat ini ia hanya akan dipasarkan di Rusia dengan harga bermula RUB49,990 (~RM2,855) untuk MagicBook X 14 dan RUB52,990 (~RM3,025) untuk MagicBook X 15. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version