Site icon TechNave BM

HONOR MagicBook X 16 dilancar di Malaysia: Komputer riba 16 inci, Intel 12th Gen bermula RM3,499

Selain melancarkan tablet HONOR Pad X8 pada hari ini, HONOR Malaysia turut melancarkan sebuah komputer riba baharu iaitu HONOR MagicBook X 16. Komputer ini mempunyai skrin berukuran 16 inci dengan pemproses Intel Core Generasi ke-12.

Skrinnya mempunyai sempadan bezel yang sangat nipis iaitu 4.5mm sahaja, menjadikan nisbah skrin-ke-badan setinggi 89% dan hampir keseluruhan bahagian depannya dipenuhi dengan skrin. Ia mempunyai resolusi Full HD (1920×1200), gamut warna 100% sRGB dan kecerahan 300nits.

Skrin ini juga mendapat Pensijilan TÜV Rheinland Cahaya Biru Rendah Hardware Solution dan Pensijilan TÜV Rheinland Flicker Free yang bermaksud ia boleh mengurangkan pancaran cahaya biru yang mengganggu mata pengguna.

Untuk prestasi, komputer ini mempunyai pemproses Intel Core Generasi ke-12 yang dilengkapi teras prestasi dan lapan teras kecekapan untuk menjana 4.4GHz Performance-core Max Turbo Frequency. Storannya pula ditawarkan sehingga 1TB, menjadikannya komputer yang sesuai untuk kegunaan harian atau pekerjaan asas.

Ia turut mempunyai sistem penyejukan dwi-paip haba dan sirip penyejuk yang lebih besar sebanyak 21% daripada model sebelumnya. Baterinya berkapasiti 60Wh dan menawarkan hayat penggunaan sehingga 12 jam.

HONOR MagicBook X 16 akan dijual di Malaysia bermula 18 November 2022 pada harga RM3,499. Pembeli awal akan menerima hadiah percuma bernilai RM777, seperti HONOR Backpack, tetikus wayarles dan Microsoft Office Home & Student 2021. Layari laman web HONOR Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai komputer riba ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version