HONOR dikhabar akan melancarkan sebuah telefon pintar lipat yang lebih mampu milik berbanding telefon lipat lain dalam pasaran, dinamakan sebagai HONOR Magic V2 Lite. Ia bakal menjadi produk yang lebih mampu milik berbanding HONOR Magic V2 asal dan mungkin akan dilancar pada 1 September 2023.
Tarikh tersebut juga adalah tarikh pelancaran untuk HONOR Magic V2 untuk pasaran antarabangsa. Menurut pengkhabar berita teknologi dalam Weibo dan Twitter, Magic V2 Lite mungkin akan dilancar dalam dua varian, di mana satu varian akan dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1.
Mereka juga berkata ia akan dijual pada harga sekitar CNY5,000 (~RM3,210). Memandangkan ia mempunyai perkataan “Lite” pada namanya, mutu buatan untuk telefon ini mungkin tidak setaraf seperti rekaan premium pada Magic V2.
Jika harga ini benar, ia bakal menjadikan Magic V2 Lite sebagai telefon lipat yang paling mampu milik dalam pasaran, walaupun apabila dibandingkan dengan telefon lipat gaya Flip.
Pada April lalu, HONOR Malaysia memperkenalkan HONOR Magic Vs yang merupakan telefon lipat gaya Fold yang paling murah di Malaysia, jadi Magic V2 Lite mungkin akan meneruskan legasi tersebut.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Android Headlines

